Friday, September 16, 2016

11 IMPAK POSITIF ALAM SEMULAJADI KEPADA ANAK-ANAK


Kalau nampak anak-anak tengah panjat pokok macam ni apa reaksi ibu ayah ya? Mungkin ada yang menjerit "TURUN!!!" sambil urut-urut dada atau pegang rotan. Sabar dulu ibu ayah sekalian, baca dulu artikel ni sampai habis ya. Lepas ni mungkin anda dah tak marah-marah lagi bila anak-anak main panjat pokok. Entah-entah ibu ayah pula yang nak 'join' sekali :)

Anak-anak zaman sekarang jarang berpeluang untuk bermain di luar rumah seperti ini lagi. Anak-anak yang tinggal di kampung mungkin masih ada, tapi kalau di bandar-bandar besar hendak melihat pokok pun susah apatah lagi hendak bermain? Masa seharian pula banyak dihabiskan di sekolah, di balik dinding batu bilik darjah. Bila di rumah anak-anak sibuk dengan television dan gadjet masing-masing. Langsung tak ada peluang untuk 'berhubung' dengan alam semulajadi, menghirup udara segar dan melihat pohon-pohon yang menghijau.


Kalau ditanya rugikah anak-anak kita? Jawapannya memang sangat rugi. Alam adalah anugerah yang cukup indah dari Tuhan buat kita manusia. Ia tidak dapat dikalahkan oleh teknologi ciptaan manusia walau secanggih mana sekalipun. Terdapat banyak sekali manfaat yang dapat diraih oleh anak-anak kecil yang dibiarkan bermain di luar. Ini bukan omongan kosong tetapi berdasarkan kajian-kajian yang telah dijalankan berdekad lamanya. Secara umumnya, kajian-kajian ini mendapati bahawa anak-anak yang didedahkan pada alam sekitar setiap hari memperoleh impak positif dari segi sosial, fisiologikal, akademik dan juga kesihatan fizikal.

Antara kesan-kesan positif tersebut adalah:

1. Membantu dalam pelbagai domain perkembangan kanak-kanak
Alam semula jadi mempunyai pengaruh besar dalam perkembangan kanak-kanak tidak kira dari segi intelektual, emotional, sosial, spiritual mahupun fizikal

2. Menyokong kreativiti dan penyelesaian masalah
Kajian terhadap kanak-kanak sekolah mendapati bahawa apabila kanak-kanak ini bermain di kawasan yang hijau mereka menonjolkan cara bermain yang lebih kreatif. Bermain di luar juga penting dalam membentuk kemahiran menyelesaikan masalah serta perkembangan intelektual kanak-kanak.

3. Meningkatkan kemahiran kognitif
Menurut kajian juga, kanak-kanak yang berada dekat, dapat melihat dan sentiasa terdedah dengan persekitaran yang natural  mempunyai fokus yang lebih baik serta menunjukkan peningkatan dalam perkembangan kognitif mereka.

4. Memperbaiki prestasi akademik
Menurut American Institutes for Research, para pelajar yang didedahkan dengan pembelajaran diluar kelas serta pendidikan berasaskan alam semulajadi menunjukkan peningkatan yang signifikan dalam mata pelajaran kajian sosial, sains, seni bahasa dan juga matematik.

5.Mengurangkan simptom ADD (attention deficit disorder)
Dalam kajian oleh Kuo dan Taylor pula (Kuo and Taylor, 2004) kanak-kanak yang 'berhubung' dengan alam semulajadi menunjukkan pengurangan yang signifikan dalam simptom ADD mereka. Ini dapat dilihat pada kanak-kanak semuda usia 5 tahun.

6. Meningkatkan aktiviti fizikal
Kanak-kanak yang berada di persekitaran natural juga lebih cenderung untuk melakukan pelbagai akitiviti fizikal. Bayangkan jika kita berada di tengah padang yang luas, pastinya kita berasa teruja untuk berlari, melompat dan menendang bola, betul tak?

7. Memperbaiki nutrisi
Ajar kanak-kanak untuk bercucuk tanam. Kanak-kanak yang menanam sendiri makanan mereka lebih cenderung untuk makan sayur dan juga buah serta menunjukkan pengetahuan yang lebih luas tentang khasiat pemakanan. Mereka juga lebih berkemungkinan untuk meneruskan tabiat pemakanan yang sihat apabila dewasa kelak.

8. Memperbaiki penglihatan
Kajian dari American Academy of Ophthalmology pula mendapati masa yang diluangkan di luar berkait dengan penurunan kadar penghidap rabun dekat (myopia) dikalangan kanak-kanak dan remaja.

9.Memperbaiki hubungan sosial
Kanak-kanak yang selalu dibiarkan bermain diluar secara bebas (free and unstructed play) juga dikatakan lebih bijak, lebih gembira dan lebih mudah untuk bergaul dengan orang lain!

10.Memperbaiki disiplin diri
Pendedahan kepada kehijauan alam dapat membantu kanak-kanak berasa lebih tenang, meningkatkan kawalan diri (self-control) serta membantu dalam disiplin diri, terutamanya bagi yang tinggal di bandar.

11. Mengurangkan stress
Kehijauan alam serta akses kepada kawasan bermain yang natural dapat mengurangkan stress dikalangan kanak-kanak. Lebih banyak pokok lebih baik!

Ini adalah sebahagian hasil positif yang dapat dilihat melalui kajian-kajian yang dijalankan. Meluangkan masa di luar bukan hanya terhad kepada bermain, tetapi banyak lagi aktiviti lain yang boleh dilakukan oleh anak-anak untuk 'connect' dengan alam semulajadi. Antaranya bercucuk tanam, membaca atau mengulangkaji di bawah rimbunan pohon, memancing ikan dan sebagainya. Bagi kita yang Muslim ini mungkin boleh cuba bawa anak kita untuk solat dan membaca al-Quran di kawasan-kawasan seperti pantai dan air terjun. Ia dapat mengajar anak menghargai keindahan alam dan merenung kebesaran kuasa Tuhan.

Diharapkan artikel ini dapat membawa manfaat kepada kita semua. Terima kasih kerana membaca dan jangan lupa untuk share dengan kawan-kawan yang lain ya. Semoga kita semua belajar sesuatu yang baru :)



rujukan: naturalearning.org

....................................................................................................




Berminat nak dapatkan educational toys? Jom lawat laman facebook Shaznur Stationery & Educational Toys atau whatsapp terus ke 010 9152658. Terdapat lebih daripada 50 permainan menarik untuk anda pilih :)


No comments:

Post a Comment