Monday, July 1, 2019

TIPS BERMAIN DAN MANFAAT 'SHAPE SORTER' KEPADA KANAK-KANAK

Assalamualaikum semua😊


Kali ni saya nak berkongsi mengenai salah satu mainan klasik iaitu 'shape sorter'. Permainan mengasingkan bentuk. Permainan ini antara salah satu permainan yang telah lama dicipta tetapi kekal popular sehingga hari ini. Ia bukan sahaja menjanjikan keseronokan untuk anak-anak tetapi juga mempunyai nilai pendidikan.

'Shape sorter' terdiri daripada bentuk-bentuk 3d sama ada daripada kayu mahupun plastik. Ada yang sekadar mempunyai bentuk asas seperti segiempat dan bulatan yang mana lebih sesuai untuk anak-anak dibawah 2 tahun. Ada juga shape sorter yang mempunyai bentuk yang lebih kompleks seperti bentuk bulan sabit dan hexagon. Shape sorter jenis ini sesuai untuk anak-anak berusia 3 tahun ke atas.

Fungsi utama shape sorter adalah untuk mengajar anak-anak mengenal bentuk. Untuk menjadikan pembelajaran lebih efektif anda boleh menggunakan cara-cara seperti dibawah, mengikut langkah demi langkah ( untuk anak-anak mahir setiap langkah mungkin memerlukan masa seminggu atau lebih)

1) Pastikan anak-anak mendengar anda menyebut nama setiap bentuk. Sewaktu anak-anak bermain dengan shape sorter, ibu bapa perlu melabelkan setiap bentuk (secara verbal)

2) Simpan semua bentuk kecuali satu. Berikan kepada anak-anak untuk dimasukkan ke lubang yang betul. Setelah berjaya, barulah keluarkan satu lagi bentuk, sehinggalah habis.

3) Keluarkan semua bentuk yang ada. Suruh anak anda pilih satu bentuk daripada bentuk-bentuk yang ada (contohnya, suruh anak anda pilih bentuk bulatan) dan masukkan ke lubangnya. Kemudian teruskan dengan bentuk segiempat, segitiga dan seterusnya. Ini dapat menguji sama ada anak-anak dapat mengenal pasti bentuk berdasarkan namanya.

4) Apabila anak telah mahir langkah di atas, suruh pula anak-anak mengambil bentuk mengikut pilihannya sendiri dan suruh dia namakan bentuk tersebut sebelum memasukkannya ke tempat yang betul.

Apabila anak-anak telah mahir mengenal bentuk, anda boleh juga menambah dengan menyebut warna. Contohnya segiempat berwarna biru, segitiga hijau dan sebagainya.

Antara kelebihan lain bermain shape sorter selain dari mengenal bentuk adalah

1) kemahiran menyelesaikan masalah
Anak-anak belajar melalui 'trial & error'. Mereka akan mencuba sehinggalah sesuatu bentuk dapat dimasukkan ke tempat yang betul. Ini mengajar anak-anak untuk terus berusaha sehingga berjaya.

2) Kemahiran motor halus
Bermain dengan shape sorter dapat melatih kemahiran motor halus dan juga koordinasi anak-anak. Mereka perlu memanipulasikan bongkah-bongkah bentuk dengan menggunakan tangan mereka bagi memastikan ia masuk ke lubangnya.

3) Kemahiran bahasa
Bermain dengan shape sorter memberi peluang kepada anak-anak untuk mendengar dan belajar nama bentuk, warna dan juga saiz.

4) Kemahiran kognitif
Dalam berusaha memahami perbezaan saiz dan bentuk, kanak-kanak juga mendapat pendedahan awal dalam bidang matematik dan geometri

5) Sebab dan akibat (cause and effect) dan 'object permanance'
Kedua-duanya merupakan konsep yang dapat dipelajari melalui permainan shape sorter. Apabila bongkah bentuk dimasukkan kedalam lubang ia 'hilang' tetapi apabila dilihat kedalam bekas, bongkah tersebut masih lagi ada.


Shape sorter merupakan permainan pembelajaran yang patut ada bagi setiap kanak-kanak. Ambil masa bermain dengan anak anda dan lihatlah sendiri kemahiran-kemahiran yang mereka pelajari dengan shape sorter :)



Shaznur Edutoys
Whatsapp 0196821227
www.wasap.my/60196821227