Showing posts with label tips memilih permainan. Show all posts
Showing posts with label tips memilih permainan. Show all posts

Monday, September 19, 2016

BAGAIMANA 'OPEN ENDED TOYS' DAPAT MEMBANTU PERKEMBANGAN BAHASA DAN MATEMATIK ANAK-ANAK


Apa itu open ended toys? 

Open ended toys adalah permainan yang tidak mempunyai peraturan mahupun aturcara penggunaan. Fokusnya adalah pada apa yang kanak-kanak boleh lakukan pada permainan tersebut, bukannya apa yang permainan itu boleh lakukan. Open ended toys menggalakkan kanak-kanak bermain dengan sendirinya (self-initiated) dan tidak mempunyai had umur yang spesifik. Ia boleh meransang daya kreativiti anak-anak dan boleh digunakan dalam pelbagai aktiviti, bertahun-tahun lamanya. Pendek kata ia 'membesar' bersama anak-anak. Antara contoh open ended toys adalah seperti blocks, permainan pembinaan, dress-up items, permainan berbentuk imaginatif, serta bahan-bahan untuk seni dan kraft. 

Open ended toys dapat membantu perkembangan otak anak-anak kecil. Seperti yang kita sedia maklum kanak-kanak belajar melalui bermain. Open ended toys sangat menggalakkan anak-anak untuk bereksplorasi dan menggunakan kreativiti mereka. Ia merangsang daya fikir mereka dan mencetuskan idea-idea baru. Open ended toys juga dapat membantu dalam perkembangan bahasa dan matematik anak-anak, serta kemahiran kognitif mereka secara amnya. 


Bagaimana open ended toys membantu dalam perkembangan bahasa kanak-kanak? (language development) 

Open ended toys membuka peluang untuk kanak-kanak memperkukuhkan kemahiran bahasa mereka, tidak kiralah anak-anak kecil yang baru mula belajar bercakap mahupun anak-anak yang lebih besar bagi menambahkan vokabulari mereka. Menguasai bahasa dengan lebih awal dapat membantu anak-anak dalam membaca dan menulis kelak. 

Ibu bapa sangat disarankan untuk bermain open ended toys dengan anak-anak mereka dirumah kerana ia menggalakkan penggunaan bahasa yang meluas. Semasa bermain, kanak-kanak akan merancang, membina dan menyelesaikan masalah. Interaksi antara ibu bapa dengan anak-anak diwaktu ini membuka ruang untuk perkembangan bahasa mereka. Jika anak-anak sedang membina dengan menggunakan blocks misalnya, ibu bapa boleh bertanyakan soalan berbentuk terbuka yang menggalakkan anak-anak untuk memberi penerangan. 

Contoh open-ended questions yang anda boleh gunakan adalah seperti: 
- Boleh beritahu ibu adik sedang bina apa ni?
- Apa lagi yang adik rasa adik boleh buat dengan.........? 
- Apa yang adik rasa akan berlaku jika adik..............? 
- Kenapa adik pilih untuk buat macam ni? 
- Dari mana adik dapat idea untuk buat macam ni? 

Akan tetapi janganlah pula bertanyakan soalan seperti polis sedang menyiasat pesalah. Sebaliknya ambil peluang ini untuk berbual dengan anak-anak. Memandangkan open ended questions tidak mempunyai salah atau betul dan memerlukan jawapan yang lebih dari sekadar ya ataupun tidak, anak-anak mungkin memerlukan bahasa yang agak kompleks. Apabila kanak- kanak cuba menerangkan apa yang ada dalam fikiran mereka, ini merupakan cara yang sangat baik untuk meningkatkan kemahiran bahasa mereka. Ibu bapa juga boleh memperkenalkan perkataan-perkataan baru dalam perbualan ini. 

Anak-anak sendiri juga mungkin akan bertanyakan soalan-soalan yang dapat memperluaskan lagi vokabulari mereka. Contohnya mereka mungkin bertanyakan tentang bentuk, warna, ataupun peralatan yang mereka tidak tahu. Ibu bapa boleh menggunakan peluang ini untuk mengajar anak-anak mereka perkataan-perkataan yang mungkin tidak akan timbul dalam perbualan harian yang biasa. 


Bagaimana open ended toys dapat membantu perkembangan matematik kanak-kanak? 

Sama seperti perkembangan bahasa, open ended toys juga mempunyai kesan positif dalam pembelajaran matematik anak-anak. Permainan ini membolehkan anak-anak untuk benar-benar memahami konsep matematik. 

Apabila kanak-kanak bermain dengan open ended toy, ia dapat membantu pembentukan spatial sense (kemahiran melihat ruang) dan mereka dapat belajar untuk memahami prinsip geometri. Kanak-kanak juga dapat belajar untuk mengenalpasti pattern, perlu menyelesaikan masalah, dan dapat bereksperimentasi bagaimana sesuatu benda dapat melengkapi satu sama lain. 

Contohnya apabila kanak-kanak mula sedar bahawa mereka memerlukan dua bongkah merah untuk membentuk saiz yang sama seperti bongkah hijau, mereka sebenarnya sedang belajar mengenai prinsip geometri, konsep pecahan, dan juga spatial reasoning, yang mana semuanya adalah komponen penting dalam matematik.Permainan seperti ini juga membuka ruang untuk anak-anak melakukan operasi tambah dan darab, berulang-ulang kali banyaknya. Sekali lagi, penyertaan ibu bapa melalui pertanyaan soalan dan perbincangan semasa mereka bermain dapat menambahkan lagi pemahaman mereka. 

Open ended toys sangat menggalakkan pembentukan pemikiran kreatif, logik dan penyelesaian masalah yang dapat membantu anak-anak dalam pembelajaran di sekolah kelak. Apabila ibu bapa mahu membeli permainan untuk anak-anak mereka, inilah antara faktor-faktor penting yang patut diambil kira. Tumpukan pada permainan yang dapat meningkatkan perkembangan kognitif serta perkembangan-perkembangan penting yang lain. Jangan hanya memilih permainan atas dasar hiburan semata-mata, seperti permainan berbentuk elektronik yang banyak terdapat di pasaran sekarang ini. Buatlah pilihan terbaik untuk anak- anak kita semua. 


Contoh open ended toys:









..........................................................................
Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi kami di
whatsapp: 010-9152658


Friday, September 9, 2016

KONGSI IDEA: 10 CARA BELAJAR GUNA BLOCKS


Assalamualaikum sahabat semua,
Alhamdulillah bertemu lagi kita ya. Terima kasih kerana sudi melawat blog Shaznur. Kali ni Shaznur nak berkongsi dengan sahabat semua cara bagaimana permainan building blocks ni boleh diterapkan dalam sesi belajar bersama anak-anak. Rugi tau kalau tak baca :) :)

Pernah tak kadang-kadang tu kita beli permainan untuk anak kita, tapi tak tahu cara atau tak sedar pun sebenarnya permainan tu boleh jadi bahan penting dalam mengajar anak kita. Mesti ada kan? Ya lah, bukan selalu orang kongsi benda-benda macam ni kan? Lainlah kalau gosip artis hehe...
Tapi tak apalah kali ni biar Shaznur yang kongsi. Untuk posting kali ini kita bercerita pasal building blocks dulu ya, khususnya yang macam Shaznur punya ni. Yang ini adalah versi yang ada huruf.
Building blocks yang Shaznur guna

1) Free play
Walau macam manapun sekali pun, pastilah tak ada yang boleh menidakkan kepentingan free play. Biarkan anak-anak bermain dengan bebas dan meneroka sendiri permainan tersebut tanpa campur tangan mak ayah. Nanti kita boleh lihat sendiri kreativiti anak-anak kita

2)Kenal huruf
Sambil bermain blocks, sahabat-sahabat boleh sebutkan huruf yang terdapat pada blocks dan tunjukkan pada anak-anak. Lakukan secara santai ya, bukan dipaksa-paksa.

3) Susun huruf
Bila anak dah kenal huruf, boleh lah kita main susun huruf ikut turutan pula. Boleh mula dengan susunan A-Z, dan kemudian secara terbalik Z-A. Atau boleh juga bermain isi tempat kosong. Anda boleh susun huruf tersebut tapi tinggalkan beberapa tempat kosong untuk anak anda isi dengan block huruf yang betul.

4) Sorting dan grouping
Untuk grouping, boleh buat mengikut warna ataupun bentuk. Kumpulkan blocks yang sama warna/bentuk dalam satu kelompok. Untuk peringkat seterusnya boleh buat kumpulan mengikut bentuk + warna (contohnya kumpulkan blocks segiempat berwarna merah, segitiga berwarna kuning dan seterusnya)

5) Membina mengikut kategori
Ibu ayah boleh tetapkan kategori mudah seperti kenderaan atau bangunan dan anak-anak perlu membina sesuatu binaan mengikut kategori tersebut.

6) Membina mengikut warna
Yang ini pula anak-anak perlu membina binaan menggunakan blocks satu warna sahaja. Contohnya hanya menggunakan blocks berwarna biru.

7) Membina mengikut bentuk
Sama seperti di atas, cuma perlu tukar warna kepada bentuk. Contoh bina sesuatu dengan menggunakan blocks berbentuk silinder.

8) Bina menara tertinggi
Sahabat-sahabat juga boleh main game bina menara tertinggi dengan anak-anak. Siapa yang boleh bina menara tertinggi tanpa runtuh dia menang. Anda juga boleh jadikan permainan lebih mencabar dengan menggunakan limit masa atau bilangan blocks.

9) Tiru binaan
Suruh anak-anak membina sesuatu mengikut gambar ataupun binaan yang anda sendiri buat. Ini penting untuk observation skill mereka.

10) Kira blocks
Blocks juga boleh digunakan untuk ajar anak-anak asas matematik. Mengira, asas tambah dan tolak dan sebagainya.

Macam mana, banyak kan yang aktiviti yang boleh dibuat dengan hanya menggunakan blocks? Yang penting sahabat semua sedia luangkan masa untuk anak-anak. Sambil main santai-santai pun anak-anak boleh belajar. Selamat bermain ya :)

p/s: Kalau kawan-kawan tak nak ketinggalan posting baru dari Shaznur, boleh follow blog Shaznur ya atau add Shaznur di google+. Link ada di tepi sebelah sini -> (untuk yang guna pc)

.................................................................................................................................................................

Berminat nak dapatkan building blocks seperti dalam artikel ni? Jom lawat laman facebook Shaznur Stationery & Educational Toys atau whatsapp terus ke 010 9152658. Cepat sementara stock masih ada  :)


Saturday, September 3, 2016

TIPS MEMILIH PERMAINAN TERBAIK UNTUK ANAK USIA 1-3 TAHUN

Seperti yang sudah sedia kita maklum, memang fitrah kanak-kanak belajar dengan cara bermain. Bermain membuka ruang untuk anak-anak kita berkembang dan berlatih kemahiran-kemahiran baru yang mereka dapat. Disebabkan itulah pentingnya kita memilih permainan yang sesuai untuk anak-anak kita. Permainan yang bagus bukan sahaja dapat menghiburkan anak-anak tetapi juga mengoptimumkan proses pembelajaran mereka. Ia seharusnya membuka ruang untuk anak-anak berfikir, melatih kemahiran sedia ada serta dapat memberikan cabaran baru yang sesuai mengikut tahap usia anak-anak.

Dengan lambakan permainan di pasaran, kadang-kala pening juga kita sebagai ibu bapa nak buat pilihan. Jadi bagaimanakah caranya kita dapat memilih permainan yang terbaik tanpa mengabaikan faktor-faktor keseronokan? Mungkin panduan dibawah sedikit sebanyak dapat membantu.

Panduan memilih permainan untuk anak-anak  (usia 1-3 tahun) 

1)Pilih permainan yang boleh dimainkan dengan pelbagai cara
Kanak-kanak pada usia sebegini kebiasaanya tinggi dengan daya imaginasi. Permainan yang lebih dikenali sebagai 'open ended toy' merupakan pilihan yang tepat untuk mereka. Ia tidak tertakluk kepada satu cara bermain sahaja seterusnya menggalakkan kreativiti anak-anak serta membantu melatih kemahiran berfikir dan menyelesaikan masalah.

contoh: blok kayu, interlocking block (seperti lego), nesting cups, kinetic sand, playdoh




2)Cari permainan yang boleh 'membesar' bersama anak-anak
Membesar disini bukan bermaksud dari segi saiz tapi pilihlah permainan yang boleh dimainkan walaupun pada tahap perkembangan yang berbeza. Walaupun usia anak meningkat tetapi permainan ini akan tetap relevan dan digemari oleh anak-anak. Contohnya model haiwan; anak yang lebih kecil mungkin seronok bermain dengan meniru bunyi binatang dan sebagainya tetapi apabila besar mereka boleh mengggunakannya untuk melakonkan watak dalam cerita rekaan mereka.

contoh: model binatang, anak patung, figura aksi, rumah anak patung, model kenderaan

cth: model kenderaan dan bangunan


3)Pilih permainan yang menggalakkan kemahiran berfikir dan meneroka
Bermain memberikan peluang untuk anak-anak berlatih kemahiran baru secara berulang-ulang. Permainan yang memerlukan anak-anak untuk berfikir dapat membantu dalam kemahiran menyelesaikan masalah dan berfikir secara logik. Permainan sebegini juga dapat membantu dalam meningkatkan kemahiran motor, eye-hand coordination serta spatial relations skill.

contoh: puzzle, shape-sorters, block, bead maze

cth shape sorter

cth puzzle

4)Cari permainan yang dapat meningkatkan daya imaginasi anak-anak
Pada usia tiga tahun, kebiasaannya daya imaginasi anak-anak amat tinggi. Pada usia beginilah mereka selalunya berupaya untuk meniru dan melakonkan pelbagai watak (seperti askar, doktor, polis dsb). Mereka juga selalu berpura-pura menggunakan sesuatu objek sebagai benda yang berbeza (contohnya blok sebagai makanan atau batang aiskrim sebagai pedang). Pilih permainan yang dapat anak-anak gunakan untuk berimaginasi. 

contoh: pakaian 'dress-up'. bloks, model makanan, permainan memasak, anak patung, model kenderaan

cth permainan memasak


5)Berikan peluang kepada anak-anak bermain dengan objek yang sebenar (ataupun permainan yang seakan-akan objek yang sebenar)
Anak-anak pada usia ini mula faham bagaimana objek disekeliling mereka berfungsi (seperti tv, remote control, suis lampu).Mereka juga suka meniru orang dewasa dan bermain dengan barang-barang kepunyaan ibu ayah seperti handphone dan alat bertukang. Permainan sebegini sebenarnya dapat membantu anak-anak dalam kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran berfikir secara logik, spatial relations dan juga kemahiran motor halus (penggunaan otot-otot kecil pada jari dan tangan)

contoh: peralatan memasak, telefon mainan, peralatan muzik, peralatan mencuci (penyapu, mop bersaiz kecil)


6)Jangan lupa permainan yang dapat membantu kemahiran literasi
Pada usia ini anak-anak boleh mula diperkenalkan dengan huruf dan nombor. Oleh kerana anak-anak belajar melalui pengulangan (repetition), pilihlah permainan yang dapat memperkenalkan anak-anak pada kemahiran awal membaca dan menulis.

contoh: buku, easel, crayon, pensil warna, huruf magnetik, puzzle huruf/nombor



7)Pilih permainan yang menggalakkan anak-anak bergerak aktif
Seiring perkembangan usia anak-anak juga akan belajar kemahiran baru yang melibatkan fizikal. Mereka mula belajar melompat, menendang bola, mengayuh basikal dan sebagainya. Pilihlah permainan yang dapat membantu anak-anak berlatih kemahiran baru mereka ini!

contoh: bola pelbagai saiz, basikal roda tiga, set bowling plastik, pull-toy, terowong plastik (tunnel), basketball hoop


8)Cari permainan yang dapat dimainkan pelbagai generasi
Anda juga boleh mula mencari permainan yang dapat dimainkan ibu bapa bersama anak-anak atau antara adik beradik berlainan usia. Apabila anak-anak mula mencecah usia tiga tahun, anda boleh memperkenalkan mereka pada 'board games' yang ringkas. Permainan seperti ini dapat menggalakkan kemahiran mengira, memadan (matching skill), melatih keupayaan memori serta kemahiran mendengar dan belajar mengikut arahan dan peraturan. Ia juga dapat membantu membina hubungan dan mengajar anak-anak untuk menerima kemenangan atau kekalahan secara positif

contoh: fishing game, memory game

Itulah antara tips-tips yang boleh diguna pakai dalam memilih permainan terbaik untuk anak-anak. Tak kiralah apa pun yang anda pilih, yang penting jangan lupa luangkan masa anda untuk bermain bersama mereka. Percayalah tak ada suatu pun permainan di dunia ini yang dapat dibandingkan dengan diri anda sendiri ^_^

Semoga bermanfaat. 


..........................................................................................................................................................

Jika anda berminat nak dapatkan educational toys, boleh lawat page Shaznur Stationery & Educational Toys ataupun whatsapp 010-9152658. Bermacam pilihan yang menarik tersedia untuk anda.