Tuesday, January 27, 2015

7 sebab kenapa ibu bapa harus galakkan anak-anak bermain air


Siapa dulu masa kecil-kecil suka main air? Rasanya ramai yang angkat tangan kan? Jangan kata masa kecil, sekarang dah besar panjang pun masih ada yang pantang tengok air. Kalau tak dapat berendam, celup tangan pun jadilah  ;)

Macam mana pula dengan anak-anak anda semua? Selalu tak bagi mereka peluang main air (selain daripada waktu mandi) Kalau ada, tahniah untuk anda. Kalau belum ataupun jarang, belum terlambat untuk mula sekarang, Kenapa? Hrrmmm...baca dulu sampai habis, lepas ni mesti anda tak sabar nak ajak anak-anak main air.

Selain dari mampu memberikan keseronokan yang tak terhingga, tahukah anda air merupakan salah satu alat pembelajaran yang sangat-sangat mengkagumkan. Dahlah senang dapat, murah, banyak pula kebaikan yang anak-anak perolehi melalui aktiviti bermain air ni. Rugi sangat kalau kita tak manfaatkannya.

Kalau anda menyangkakan yang anak-anak hanya main simbah-simbah, tuang-tuang air anda sebenarnya salah. Mereka sebenarnya dapat lebih dari itu. Menurut kajian, bermain air membantu pembelajaran anak-anak dari segenap segi. Ia memberi peluang kepada anak-anak untuk bereksperiment dengan konsep sains dan matematik, menguatkan kemahiran fizikal, meningkatkan kemahiran sosial dan emosi dan juga membantu dalam perkembangan bahasa (Crosser, 1994) Jom kita tengok dengan lebih mendalam.


1) Perkembangan kognitif
Bermain air dapat menggalakkan anak-anak untuk berfikir serta meningkat kemahiran menyelesaikan masalah. Bagaimana? Melalui aktiviti ini, kanak-kanak berpeluang belajar memahami bagaimana dan kenapa sesuatu itu boleh berlaku. Contohnya, mereka mungkin terfikir kenapa sesetengah objek boleh terapung dan yang lain pula tenggelam. Malah mereka mungkin tercari-cari idea untuk membuatkan objek yang tenggelam itu terapung!

2)Matematik
Bekalkan anak-anak dengan bekas-bekas dan penyukat sewaktu mereka bermain. Ini dapat membantu mereka untuk memahami konsep seperti
-banyak/sedikit
-penuh/kosong
-berat/ringan
-dalam/cetek
-sama/berbeza
- etc
Untuk anak-anak yang lebih besar anda juga boleh mengajar mereka bagaimana mengira isipadu air.

3)Sains
Melalui aktiviti ini juga anak-anak dapat belajar prinsip sains yang melibatkan air seperti daya tekanan, tenaga, sifat-sifat cecair, keadaan jirim, surface tension, pencemaran dan juga ekologi. Anda juga boleh mengalakkan anak-anak untuk bereksperimen dengan membekalkan mereka peralatan yang sesuai

4)Kemahiran fizikal
Bermain air memberi peluang kepada anak-anak untuk menggunakan kedua-dua motor kasar dan juga halus. Contoh yang melibatkan penggunaan otot kasar adalah melalui aktiviti seperti mengangkat baldi dan menuang air dari satu bekas ke satu bekas. Aktiviti yang melibatkan otot kecil pula adalah seperti menekan penyembur air dan juga memerah span basah. Selain itu aktiviti-aktiviti ini juga bagus untuk koordinasi mata dan tangan mereka


5)Perkembangan sosial dan emosi
Bermain air juga dapat membantu menenangkan emosi anak-anak. Tak percaya, cuba lihat berapa ramai yang suka berendam dalam tub mandi untuk melegakan tekanan mereka. Bermain air memberi peluang kepada anak-anak untuk menyalurkan emosi mereka melalui perbuatan seperti menuang,  menjirus dan memercik air.
Dari segi perkembangan sosial pula, bermain air bersama rakan-rakan dapat memupuk sikap bekerjasama dan berkongsi antara satu sama lain

6) Perkembangan bahasa
Anak-anak dapat belajar banyak perkataan baru sewaktu bermain, seperti terapung, tenggelam, tuang, sukat dan sebagainya. Perkenalkan nama peralatan yang sedang mereka gunakan dan galakkan anak-anak untuk bercerita dan menerangkan apa yang sedang mereka lakukan.

7)Meningkatkan kreativiti.
Bermain air juga membuka ruang kepada anak-anak untuk berimaginasi. Mereka mungkin membayangkan diri mereka sebagai ahli bomba, tukang kebun, tukang masak, kapten kapal dan sebagainya.

Sekarang kita lebih jelas dengan manfaat aktiviti ini kepada anak-anak kan? Sebagai ibu bapa, apa pula peranan kita dalam menyokong pembelajaran anak-anak sewaktu aktiviti ini berlangsung?

1) Sediakan tempat dan peralatan yang sesuai untuk anak-anak meneroka dan bereksperimentasi.
2) Soal anak-anak dengan soalan yang berkaitan dengan apa yang sedang mereka lakukan
3) Jadi pendengar yang aktif, Beri peluang kepada anak-anak untuk bercerita
4) Tunjukkan kepada anak-anak bagaimana anda menggunakan perkataan baru (modelling)
5) Libatkan diri anda. Bermain bersama mereka. Anak-anak pasti menghargai kehadiran anda.




Extra tips:
Antara peralatan dan bahan yang boleh digunakan sewaktu aktiviti bermain air
1) Peralatan seperti corong air, bekas penyukat, botol penyembur, jaring penangkap ikan, syringe (tanpa jarum), span, senduk, pemukul telur
2) Mainan kecil yang berbentuk haiwan dan hidupan laut, kapal, orang,
3) Pasir dan batu akuarium, rumput, ranting kayu
4) Pewarna makanan dan juga pewangi (pineapple scent, peppermint etc) untuk memberikan warna dan bau yang dapat meransang minda anak-anak.

Antara aktiviti yang boleh dilakukan
1) Letak garam didalam air, cuba terapung dan tenggelamkan objek
2) Bermain dengan ais/air batu
3) Colour day - pilih satu warna khas untuk tema pada hari itu
4) Number/ Alphabet soup - Masukkan nombor/huruf yang diperbuat dari foam, tangkap dengan menggunakan senduk./ jaring ikan
5) Bina kapal dari bahan yang berbeza -aluminium foil, kertas, daun etc
6) bina jambatan/ pulau





Sebenarnya terdapat banyak aktiviti yang boleh dilakukan yang melibatkan air. Malah anda boleh pilih pelbagai aktiviti yang sesuai untuk bermain diluar atau didalam rumah. Jika ada kelapangan, bawa anak-anak ke tepi pantai, sungai ataupun air terjun. Jika kesempitan masa pula, di dalam bilik mandi  ataupun sink didapur pun anak-anak boleh beraktiviti. Aktiviti juga boleh disesuaikan dengan peringkat umur anak-anak. Yang penting beri peluang kepada mereka. Baju basah tak apa, boleh sidai belakang rumah! Apapun selamat bermain air, lain kali kita cerita pasal sensory aktivity yang lain pula ya ^_^








p/s: anda suka artikel ni? jangan lupa support dan like page kami ya ^_^ (shaznur stationery & educational toys)


  sumber rujukan:
1) Making the most of water play, Sandra Crosser
2) Water play: Wet and wonderful; Angie Dorrell

Saturday, January 17, 2015

11 aktiviti bermanfaat dengan BEAD MAZE!




Bead maze. Anda mesti pernah terpandang permainan ini kan. Mungkin di klinik, di tadika, ataupun err..mungkin di ikea hehe..Walaupun mungkin selama ini anda tak tahu nama benda alah ni..tapi anda tahu ia wujud kan. Bead maze adalah antara salah satu permainan klasik yang popular di kalangan ibu bapa dan guru.

Tetapi kenapa ia popular ya? Nampak seperti hanya gegelung wayar dengan manik-manik kayu yang berwarna-warni. Apa yang menariknya? Haa.kalau anda nak tahu bead maze adalah permainan 3 dimensi yang berupaya membantu anak-anak dari segi bahasa, motor dan juga perceptual. Pendek kata ia dapat meningkatkan perkembangan dan pembelajaran anak-anak dengan cara yang sangat menyeronokkan. Jom kita tengok aktiviti yang kita dapat lakukan dengan bead maze:

1) melatih koordinasi mata dan tangan
galakkan anak-anak mengerakkan manik-manik dari satu hujung gegelung ke hujung yang lain. Mulakan dengan gegelung yang lebih mudah. Selalunya setiap bead maze dilengkapi paling kurang dua gegelung wayar dengan tahap kesukaran yang berbeza. Aktiviti ini dapat melatih penggunaan deria penglihatan dan juga pergerakan tangan secara serentak.

2)Visual tracking
Minta anak agar mengikut arah pergerakan manik dengan matanya. Anda boleh mempelbagaikan gerakan manik seperti perlahan, laju, ke atas, ke bawah. ke kiri dan ke kanan. Keupayaan untuk mengawal pergerakan mata dan mengikut arah gerakan objek adalah penting dalam aktiviti seperti membaca, menulis dan juga bermain sukan.

3) Pretend play
Kanak-kanak paling suka berimaginasi dan permainan seperti bead maze ini membuka ruang untuk mereka. Di dalam dunia kanak-kanak, manik kayu bukanlah sekadar manik kayu. Ia boleh bertukar menjadi kapal terbang, kereta, keretapi dan juga jet pejuang! 

4) Perkembangan bahasa
Sambil bermain dengan bead maze, galakkan anak-anak untuk bercakap...minta dia terangkan apa yang sedang dia buat, apa yang dia lihat ataupun lebih baik lagi, reka cerita sendiri dengan menggunakan bead maze! Yup, segalanya boleh..

5) Mengenal warna dan juga bentuk
Salah satu kelebihan bead maze ini adalah manik kayunya diperbuat dalam pelbagai warna dan bentuk. Ambil peluang ini untuk memperkenalkan anak-anak dengan warna-warna dan juga bentuk asas. Suruh mereka sebut atau suruh mereka tunjuk. Anda boleh bermain permainan seperti 'I spy' untuk menjadikan ia sesuatu yang lebih menyeronokkan. 

6) Grouping
Minta anak-anak susun manik dalam pattern seperti kumpulan 2 biji manik, kumpulan 3 biji manik dan seterusnya. Ia adalah sesuatu yang simple tetapi boleh menjadi aktiviti yang menyeronokkan untuk anak-anak. Grouping mengajar anak-anak untuk mengkategorikan sesuatu mengikut persamaan yang ada.

7) Penyelesaian masalah
Anda boleh mencabar keupayaan berfikir anak-anak dengan memberikan masalah untuk mereka selesaikan. Contohnya, minta mereka letakkan manik berwarna merah pada tengah-tengah gegelung, atau tiga biji manik pada setiap hujung gegelung dan sebagainya.

8) Directional changes and spatial relations
Tunjukkan kepada anak konsep  seperti atas, bawah, kiri, kanan, up, down, around dan sebagainya. Bead maze dapat memberikan anak peluang untuk melihat konsep ini secara jelas dan mereka akan lebih mudah faham berbanding dengan hanya membayangkannya.

9) Memahami nombor/matematik
Gunakan bead maze untuk mengira.Anda juga boleh mengajar anak asas tolak dan tambah. Bead maze pun berupaya menjadi seperti sempoa yang ringkas!

10) Permainan memory.
Bead maze juga boleh digunakan untuk meningkatkan daya ingatan anak-anak. Bagaimana?Buat satu pattern manik dan suruh anak-anak anda ingat pattern tersebut. Kemudian bubarkan pattern tersebut dan minta anak-anak membinanya kembali. Ataupun anda boleh bina satu pattern, suruh anak tutup mata dan anda ubah sedikit satu bahagian pada pattern tersebut. Kemudian suruh anak tunjuk bahagian yang sudah berubah. Lihat sama ada mereka berupaya mencari perbezaan tersebut!

11) Pre-writing skill
Konfigurasi gegelung wayar adalah sememangnya direka agar pergerakan manik pada gegelung tersebut dapat membantu dalam pergerakan jari dan pergelangan tangan anak-anak (finger and wrist dexterity). Ini dapat membantu dalam keupayaan mereka untuk menulis nanti. Malah memegang manik juga dapat melatih kemahiran motor halus mereka.

Ok..cukup sebelas kesemuanya. Mungkin ada lagi yang tak disebut di sini. Apapun kesemua ini pastinya hanya bermanfaat jika diamalkan. Yang paling penting jangan paksa anak bermain mengikut cara yang kita mahu. Ingatkan diri kita yang ini masih lagi aktviti bermain dan bermain haruslah sesuatu yang menyeronokkan! Apa yang anda boleh buat, biarkan mereka meneroka dulu alat permainan tersebut dan kemudian barulah cadangkan secara lembut kepada mereka apa yang boleh dibuat. Selalunya anak-anak tidak akan menolak cadangan anda jika anda pandai mengambil hati mereka. Selamat bermain semua ^_^






sumber rujukan:  http://www.blog.sensoryedge.com




Monday, January 12, 2015

12 kelebihan bermain buih sabun kepada kanak-kanak!


Main buih sabun! Salah satu aktiviti kegemaran anak-anak, betul tak? Kadang-kadang orang dewasa pun suka juga (cuma malu nak tunjuk je :p) Antara aktiviti yang mudah, murah, dan senang nak dapat. Ada dijual di mana-mana sahaja, dari pasaraya besar sampailah ke pasar malam. Tak nak beli, tak ada masalah, boleh buat sendiri..pencuci pinggan kan ada!

Tetapi selain memberikan keseronokan yang tak terhingga kepada anak-anak, tahukah anda sebenarnya ada 12 kelebihan lain bermain buih sabun ni. Ya, dua belas! Jom kita tengok satu persatu apa yang hebat sangat main buih ni..

1) melatih motor halus - pegang peniup buih dengan jari, buka botol buih sabun, pegang botol buih sabun. Kalau guna pistol yang tembak-tembak keluar buih sabun tu pun sama, perbuatan menekan picu pistol memerlukan kekuatan otot jari dan tangan.

2) visual tracking skills - ikut arah buih buih yang bertebangan, ada yang bergerak perlahan, ada yang laju...ini memerlukan kemahiran visual.

3) eye-hand coordination - mencelup peniup buih kedalam botol buih sabun, memecahkan buih sabun dengan tangan, menangkap buih sabun yang bertebangan dengan peniup buih memerlukan koodinasi antara mata dan tangan.

4) sensory processing skills - buih teksturnya licin, basah dan melekit. Satu latihan sensory yang bagus untuk anak-anak. 

5) oral motor skills - meniup buih sabun boleh membantu perkembangan otot-otot di sekeliling mulut 

6) kemahiran sosial dan berkomunikasi - terutamanya jika mereka bermain bersama kawan-kawan. Sambil bermain mereka berinteraksi. Malah mereka juga dapat belajar mengambil giliran dan menjaga 'personal space' supaya tidak berlanggar sesama sendiri

7) kemahiran motor kasar - biarkan mereka melompat, berlari, mencangkung, menjengket dan mengejar buih-buih yang bertebangan

8) mengikut arahan - anda boleh beri arahan seperti pecahkan buih guna jari, picit, tepuk, cucuk. Atau berikan arahan untuk mereka mengikut giliran..Ain dulu, kemudian kakak dan sebagainya.

9) mengenali anggota badan - siapa kata boleh pecahkan buih guna jari je? Boleh guna siku, lutut, kaki..apa-apa sahajalah anggota badan yang anda suka.

10) kemahiran bahasa dan kognitif - tunjukkan dan terangkan kepada anak-anak apa yang sedang berlaku. Contohnya, buih naik ke atas/ turun ke bawah, buih terbang laju/perlahan, ada buih dibelakang/ dihadapan, ada satu diatas kepala, ada buih di sebelah kanan/kiri, buih tu sangat besar/kecil dan sebagainya.

11) bilateral coordination - nak  tiup buih sabun selalunya perlukan penggunaan dua belah tangan, satu pegang peniup buih, satu lagi pegang botol buih sabun..atau guna kedua-dua belah tangan untuk menekan picu pistol buih sabun

12) cause and effect - tiup keluar buih, tak tiup tak keluar la buih...ohhh...macam tu.

Itulah dia antara 12 kelebihan bermain dengan buih sabun..mungkin ada banyak lagi yang tak disenaraikan. Apapun, sekarang dah tak ada alasan kan untuk menolak permintaan anak-anak bermain buih sabun? ^_^


Suka artikel ni? Jangan lupa share, semoga ramai yang mendapat manfaat.


sumber rujukan : http://mamaot.com/





Wednesday, December 31, 2014

Kepentingan bermain kepada perkembangan sosial kanak-kanak



Bermain merupakan aktiviti yang sangat penting kepada perkembangan sosial kanak-kanak. Aktiviti ini dapat mempengaruhi kemahiran sosial serta kematangan emosi mereka. Kajian pula mendapati kecemerlangan anak-anak dalam pelajaran berkait rapat dengan keupayaan mereka untuk berinteraksi secara positif dengan rakan-rakan dan juga orang yang lebih dewasa. Sebab yang baik untuk membenarkan anak-anak bermain kan? 

Tetapi bagaimana aktiviti bermain ini mempengaruhi perkembangan sosial anak-anak? Sebenarnya melalui bermain anak-anak dapat:

1) berlatih kemahiran komunikasi verbal dan nonverbal apabila mereka cuba menentukan peranan dalam sesuatu permainan ataupun mahu menyertai permainan yang sedang berlangsung serta belajar menghargai perasaan orang lain

2) belajar memberi respond kepada perasaan rakan-rakan mereka apabila menunggu giliran dan berkongsi material serta pengalaman.

3) bereksperimen dengan peranan-peranan orang lain dirumah, sekolah ataupun dalam masyarakat apabila berhadapan dengan permintaan dan keperluan mereka.

4)belajar melihat sesuatu dari sudut pandangan orang lain apabila berhadapan dengan konflik mengenai ruang, material ataupun peraturan secara positif.

Selain itu bermain juga menyokong perkembangan sosial kanak-kanak dengan menyediakan ruang untuk kanak-kanak mengekspresi perasaan dan belajar bagaimana berhadapan dengan emosi mereka. 'Pretend play' membantu kanak-kanak mengekspresi perasaan dalam 4 cara

1) meringkaskan sesuatu situasi dengan mencipta karakter imaginasi, plot ataupun setting untuk dipadankan dengan keadaan emosi mereka. Kanak-kanak yang takut dengan gelap misalnya mungkin akan melenyapkan elemen kegelapan atau waktu malam dari episod permainan mereka.

2) 'compensating' untuk sesuatu situasi dengan menyelitkan perkara yang dilarang ke dalam pretend play. Contohnya, makan aiskrim ketika sarapan pagi dalam pretend play walaupun dalam realiti ia adalah dilarang.

3) Belajar mengawal ekspresi emosi dengan melakonkan semula pengalaman yang tidak menyeronokkan atau menakutkan.Contohnya kanak-kanak berpura-pura mengalami kemalangan selepas melihat kejadian kemalangan jalan raya yang berlaku di hadapan mereka.

4) mengelakkan daripada menerima akibat dengan berpura-pura karakter lain, sama ada real ataupun imaginari, yang melakukan perbuatan yang dilarang dan dihukum akibat perbuatan itu. Kanak-kanak yang dilarang menonton tv misalnya mungkin 'membenarkan' anak patungnya untuk menonton tv dan kemudian mendenda anak patung tersebut kerana melanggar peraturan,

Selain dari belajar mengekspresikan perasaan mereka, kanak-kanak juga belajar bagaimana untuk berhadapan dengan perasaan tersebut apabila mereka berpura-pura marah, sedih ataupun risau didalam situasi yang dikawal mereka.Pretend play membolehkan kanak-kanak meluahkan apa yang mereka rasa. Contohnya, Hana, 4 tahun yang kucing kesayangannya baru  dilanggar kereta. Ketika bermain doktor haiwan bersama rakannya, guru tadikanya terdengar Hana memberitahu rakannya " Saya sedih kereta langgar kucing saya". Disini Hana cuba menyesuaikan diri dengan perasaan yang tidak menyeronokkan yang timbul dari situasi yang menakutkan. Bermain membolehkan Hana meluahkan perasaanya supaya dia dapat mengawal perasaan bimbang kepada kucingnya.

Kanak-kanak yang lebih besar juga belajar kemahiran emosi yang penting ketika bermain seperti peningkatan persepsi kendiri yang realistik, kemampuan mengawal emosi dan juga 'self-control'. Apabila mereka terlibat dalam aktiviti bermain yang spontan atau berstruktur, mereka mula melihat diri mereka bagus dari satu segi tetapi kurang dari segi yang lain pula. Peluang untuk memantau serta mendiskriminasi perasaan dan emosi ini menyumbang kepada keyakinan kanak-kanak terhadap kemampuan diri mereka.

diterjemah dan diubah suai oleh Shaznur AN


p/s: jangan lupa like page Shaznur Stationery & Educational Toys ^_^

Sunday, December 21, 2014

Ibu bapa- kawan bermain anak yang pertama!


Bermain adalah dunia kanak-kanak. Ibarat lagu dan irama, memang tak boleh dipisahkan. Seorang atau beramai-ramai, kanak-kanak tetap 'enjoy' bermain. Apapun, ibu bapa patut menjadi salah seorang antara teman bermain anak-anak. Mungkin teman bermain mereka yang pertama. Kerana pentingnya aktiviti bermain ini dalam diari kehidupan seorang kanak-kanak, ibu bapa harus lebih peka agar aktiviti ini menjadi satu lagi pengalaman yang boleh memperkayakan anak-anak, bukannya hanya sekadar aktiviti masa lapang yang tidak membawa apa-apa manfaat.

Ini adalah antara beberapa 'panduan' yang ibu bapa boleh ikut untuk mengoptimalkan aktiviti bermain  bersama anak-anak

1) berinteraksi
ketika anak-anak bermain, pastikan anda memainkan peranan aktif, bukan hanya sekadar melihat dan mengawasi mereka. Bermain adalah antara peluang terbaik untuk anda berinteraksi dan menjalin hubungan dengan anak-anak. 

2)perhati
-perhatikan anak anda untuk mengenalpasti tahap kemahiran mereka dan apa aktiviti kegemaran mereka. Malah kadang-kadang ketika bermain juga personaliti anak-anak anda akan terserlah.

3)ikut
sertai anak-anak anda bermain pada tahap mereka. Biarkan anak-anak yang menjadi ketua dan mengawal aktiviti bermain, bukannya anda! 

4)jadi kreatif
kembalikan semula jiwa kanak-kanak dalam diri anda. Lupakan sebentar peranan anda sebagai seorang dewasa yang matang. Gunakan alat permainan dengan cara yang kreatif! Tunjukkan pada anak-anak 'different way to play'. 

5)bergembira
bermain sepatutnya menjadi aktiviti yang menggembirakan buat semua orang! Enjoy it! Jangan gunakan waktu bermain untuk menguji atau meningkatkan kemahiran anak-anak diluar batasan kemampuan mereka. Jangan buat mereka tertekan, dan jangan buat diri anda tertekan!

6)galakkan anak berfikir
sewaktu bermain, berikan cabaran atau masalah yang sesuai dengan umur dan kemampuan anak-anak. Tanya mereka soalan-soalan yang berkaitan. Biarkan otak mereka bergerak aktif untuk mencari seberapa banyak jalan penyelesaian yang ada. Sebab itulah ibu bapa perlu benar-benar mengenali anak-anak mereka, supaya anda boleh menyesuaikan persoalan dengan keupayaan dan juga minat anak-anak.

7)tahap umur dan kemampuan
Pilih aktiviti yang sesuai dengan anak anda. Beri mereka aktiviti yang sedikit mencabar tetapi tidak keterlaluan agar mereka tidak kecewa apabila gagal melakukan aktiviti tersebut. Ibu bapa harus ingat bahawa tahap pemikiran dan keupayaan kanak-kanak berbeza walaupun umur mereka sama. Malah kanak-kanak juga mempunyai minat yang berlainan.

8) alatan yang sesuai
bekalkan peralatan yang sesuai untuk anak-anak bermain. Tak perlu yang mahal-mahal, yang pentingnya kreatif. Galakkan anak-anak berimaginasi dan kalau boleh berikan mereka peralatan untuk merealisasikan imaginasi mereka itu. Contohnya kotak kosong yang boleh dijadikan kenderaan ataupun rumah.

Apapun, yang penting anda menikmati waktu bersama anak-anak anda. Luangkan sedikit masa dalam kesibukan anda bekerja dan melakukan aktiviti harian. Mereka kecil hanya sekali, jangan biarkan masa berlalu tanpa ada kenangan manis antara anda dan anak-anak. Selamat bermain! ^_^

artikel ditulis oleh SHAZNUR AN


p/s:  jangan lupa like page Fb Shaznur Stationery & Educational Toys ya ^_^



Tuesday, December 16, 2014

Apa yang kanak-kanak belajar melalui bermain?

Sesetengah orang berpendapat bermain adalah satu aktiviti yang membuang masa, tak ada manfaat, tak ada faedah. Tapi bagi kanak-kanak bermain merupakan satu aktiviti yang sangat penting. Mereka belajar banyak perkara baru dalam hidup mereka melalui bermain. Jadi, jika kita menghalang kanak-kanak bermain, samalah seperti kita menghalang mereka dari belajar. 

Nak tahu apa yang kanak-kanak belajar melalui aktiviti bermain ini? Terlalu banyak manfaatnya sebenarnya. Antaranya..

1) Mereka dapat meneroka/menemui sesuatu yang baru (discover)


2) mereka belajar membina sesuatu (create)


3) mereka belajar untuk memperbaharui (improvise)


4) mereka belajar kemahiran sosial


5) mencabar pemikiran mereka (get their thinking challenged)



Persoalannya, bagaimana kita sebagai orang dewasa dapat menyokong proses 'pembelajaran' anak-anak kita melalui aktiviti bermain ini? Salah satunya, kita harus faham yang kanak-kanak dapat belajar melalui aktiviti 'indoor' dan juga 'outdoor'. Seimbangkan masa kanak-kanak berada didalam dan diluar rumah. Beri peluang untuk mereka meneroka.

Yang keduanya, jangan meletakkan agenda 'tersembunyi' kita dalam aktiviti bermain anak-anak. Biarkan mereka sendiri yang mengawalnya. Ia sepatutnya menjadi aktiviti yang dapat menghubungkan, memperkayakan dan juga menguji pemikiran mereka. Jika kita selalu meletakkan 'gol' dalam apa yang sepatutnya mereka capai setelah selesai sesuatu aktiviti, adakah ia masih boleh dikira sebagai bermain?

Yang ketiga, beri mereka masa secukupnya. Walaupun anda sibuk dan terkejar-kejar dalam melakukan aktiviti harian,  anak-anak perlukan masa untuk bermain apatah lagi apabila mereka mula tenggelam dalam dunia mereka. Jangan menganggu 'proses pembelajaran' mereka ini.

Yang keempat, bekalkan sumber/bahan/alatan untuk mereka bermain. Contohnya ketika anak membina bangunan dari block, keluarkan beberapa buah kereta mainan, dan orang-orang kecil untuk menjadikannya sebuah bandar. Kemudian, anda boleh menyoal mereka soalan-soalan seperti 'Orang ni nak pergi mana?' 'Ini bangunan apa?'. Kita sebenarnya boleh membantu untuk 'lead' permainan mereka tanpa perlu mengawalnya. Kita boleh lihat disini, dari sesuatu yang simple (block), melalui pertambahan beberapa alatan (kereta, orang mini) dan juga beberapa soalan kita sebenarnya boleh menyokong aktiviti bermain anak-anak kepada sesuatu yang lebih bermanfaat dan lebih memperkayakan minda mereka.

Sekian sahaja perkongsian kali ini ya..semoga bermanfaat untuk semua ^_^

p/s: jangan lupa like page fb Shaznur Stationery & Educational Toys ya!




Sunday, December 14, 2014

Bagaimana kanak-kanak bermain mengikut peringkat umur.


Ini gambar Hidayah semasa Karnival Easy IKS baru-baru ini. One thing about Hidayah, she likes to play and most importantly she likes to play with friends! Dia agak pemalu dengan orang dewasa yang belum pernah dia jumpa, tapi kalau dengan budak-budak, hrmm boleh jadi 'best friend' dalam sekelip mata.

Kali saya masih lagi mahu berbicara tentang dunia kanak-kanak yang satu ini, apalagi kalau bukan 'bermain'! Bermain tu apa? Bermain adalah aktiviti yang 'freely choose' oleh kanak-kanak (bukan atas dasar terpaksa ya!), aktiviti yang melibatkan mereka, yang meransang mereka dan mungkin aktiviti tersebut berlansung dalam masa yang agak lama. Dan sama seperti perkembangan mereka, cara kanak-kanak bermain juga turut berubah mengikut peringkat umur mereka.

Ketika mereka masih bayi, cara kanak-kanak bermain dipanggil 'solitary play' atau bahasa lainnya 'independent play' dimana kanak-kanak pada peringkat umur ini gemar bermain secara bersendirian. Pada mulanya mereka mungkin gemar bermain dengan jari jemari sendiri, kemudiannya mereka akan mula tertarik untuk menyentuh sesuatu objek sebelum mula memanipulasi objek tersebut dengan cara yang lebih kompleks.

Ketika umur kanak-kanak antara 2-3 tahun mereka akan beralih pula kepada 'parallel play'. Apa pula yang dimaksudkan parallel play ni? Pada peringkat ini kanak-kanak mula bermain dalam kumpulan yang sama, tapi mereka masih tidak lagi 'bermain bersama'. Contohnya 2 orang kanak-kanak duduk bersebelahan dan masing-masing membina bangunan dari block, walaubagaimanapun tiada interaksi diantara kedua-dua kanak-kanak tersebut. 

Apabila mereka berumur 3 tahun dan keatas, barulah mereka mula dapat 'bekerjasama' antara satu sama lain. Ini dipanggil 'cooperative play'. Kanak-kanak mula belajar berkongsi dan bermain bersama-sama. Seperti contoh gambar diatas, dimana Hidayah dan kawan-kawannya bermain motor bersama-sama! 

Kemudiannya kanak-kanak akan beralih ke peringkat yang lebih sofistikated dimana mereka mampu bermain dalam permainan yang melibatkan peraturan (games with rules). Kanak-kanak pada peringkat ini faham mengenai peraturan yang ada malah kadang-kadang mereka mungkin mempersoalkan peraturan tersebut!

Keempat-empat peringkat ini adalah bagaimana cara kanak-kanak bermain yang akan berubah dari masa ke semasa seiring dengan perkembangan mereka. Akan datang, inshaaAllah saya akan berkongsi pula tentang apa yang kanak-kanak dapat belajar melalui aktiviti bermain ini.

Semoga perkongsian pada kali ini memberi manfaat pada semua! ^_^


p/s: jangan lupa jenguk dan like page fb Shaznur Stationery & Educational Toys ya. Terima kasih :D